MIRI - Seorang peniaga wanita berusia 40 tahun berputih mata selepas kehilangan wang simpanan berjumlah RM281,700 akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut pada 6 Mei semalam.
Menurut beliau, mangsa pada mulanya diperkenalkan kepada satu skim pelaburan oleh individu yang menggelarkan diri sebagai "Encik Mike".
Tertarik dengan janji keuntungan lumayan dalam tempoh singkat, mangsa telah melakukan lapan transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank berbeza atas arahan suspek.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah suspek memberikan pelbagai alasan apabila mangsa cuba menuntut keuntungan yang dijanjikan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dan sentiasa membuat semakan di portal Semak Mule PDRM atau laman web Bank Negara Malaysia sebelum melakukan sebarang transaksi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #ScamAlert #PDRMMiri #PelaburanTidakWujud
Back