Kuching - Jabatan Tanah dan Survei Sarawak mula merangka Pelan 'Marine Cadaster' dari tahun ini hingga 2028, sebagai persediaan ke arah pelaksanaan penuh survei marin pada tahun 2029.
Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, inisiatif itu sekali gus menjadikan Sarawak sebagai penggerak utama pelaksanaan penyukatan marin di Malaysia.
Menurut beliau, pelaksanaan 'Marine Cadaster' penting bagi menyokong pembangunan ekonomi biru, khususnya melibatkan aktiviti luar pesisir seperti industri minyak dan gas serta inisiatif penyimpanan karbon oleh kerajaan negeri.
Katanya, Sarawak mempunyai potensi besar berdasarkan sumber yang dimiliki di kawasan perairan dan dasar laut, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga aspek keselamatan serta kelestarian.
Bagi mengurus kawasan marin dengan lebih sistematik, Sarawak perlu mempunyai rekod dan sistem pengukuran yang teratur, seperti pengurusan kawasan darat dan tanah, katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh perangkaan pelan hala tuju itu, pihaknya akan memuktamadkan semua aspek berkaitan 'Marine Cadaster' termasuk perundangan, pendaftaran dan kaedah pengukuran marin.
Dalam usaha memperkukuh pelaksanaan sistem tersebut, beliau berkata pihaknya turut akan mengadakan lawatan penanda aras dan kajian ke Australia pada September ini, yang dilihat mempunyai sistem 'Marine Cadaster' yang mantap.
Pelaksanaannya di Sarawak lebih praktikal kerana Kanun Tanah Sarawak turut meliputi pentadbiran kawasan pesisir pantai dan dasar laut di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, selepas merasmikan Kongres Juruukur The Royal Institution of Surveyors Malaysia 2026, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back