BETONG - Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong telah menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dalam satu operasi khas, Ops Tapis, yang dijalankan di sekitar kawasan Betong, semalam (6 Mei).
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Au bin Wan Malek dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan pada jam 12.10 tengah hari kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan di pejabat JSJN IPD Betong mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah sebelum ini.
Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama bagi kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.
Pihak polis memandang serius aktiviti penyalahgunaan dadah dalam masyarakat dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
Masyarakat diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di daerah Betong dengan menghubungi talian 083-472345.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #OpsTapis #IPDBetong #PDRM
Back