KUCHING - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya melumpuhkan dua aktiviti pengedaran dadah dalam satu operasi khas pada 5 Mei lalu.
Dalam serbuan pertama di Kampung Sungai Midin, sepasukan polis dari IPD Kuching menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan merampas 39.90 gram ganja dianggarkan bernilai RM927.
Suspek, yang didapati positif dadah, kini direman selama empat hari sehingga 10 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam satu lagi kejayaan berasingan, JSJN Sarawak menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di Jalan Badruddin.
Pemeriksaan mendapati suspek membawa pelbagai jenis dadah termasuk ketamine, ganja, dan pil Erimin 5 dengan nilai pasaran keseluruhan RM6,590.
Suspek yang memiliki dua rekod jenayah lampau dan positif ujian urin kini direman dua hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu dalam satu kenyataan menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras "musuh nombor satu negara" ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMKuching #JSJNSarawak #OpsNarkotik #PerangDadah
Back