KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga lelaki berusia awal 50-an berputih mata selepas kehilangan wang simpanan berjumlah RM882,920 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam), Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor memaklumkan kejadian bermula pada 23 Mac apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai wakil Etika Takaful.
Katanya, suspek mendakwa nama mangsa disalah guna untuk tuntutan insurans palsu sebelum menyambungkan talian kepada 'pegawai polis' palsu. Mangsa kemudiannya ditakut-takutkan dengan dakwaan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.
Bagi tujuan 'siasatan', mangsa diarahkan memindahkan semua simpanannya daripada akaun Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB), dan Amanah Saham Wawasan ke dalam dua akaun bank baharu.
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati terdapat banyak transaksi keluar ke akaun tidak dikenali antara 29 Mac hingga 4 Mei lepas.
Laporan polis telah dibuat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PhoneScam #KualaTerengganu #PDRMTerengganu #BeSmartStaySafe
Back