KUCHING - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang basikal di Jalan Stutong, awal bulan ini.
Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setelah mempertimbangkan rayuan daripada peguam bela, Daniel Ling. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillanny Bin Siji.
Mengikut pertuduhan, remaja tersebut didakwa terlibat dalam kemalangan maut langgar lari pada 1 Mei 2026, kira-kira jam 5.50 pagi. Dia dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu melulu sehingga menyebabkan kematian, serta Seksyen 52(2) akta yang sama kerana gagal melaporkan kemalangan tersebut kepada pihak polis dalam tempoh 24 jam.
Sebelum ini, tertuduh telah menyerah diri kepada pihak berkuasa dan membawa anggota polis ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan. Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan dokumen dan penelitian lanjut.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #MahkamahKuching #JalanStutong #LanggarLari #PDRMSarawak
Back