BRISTOL (UK) - Kerajaan Sarawak melalui SMD Semiconductor kini meneroka kerjasama strategik dengan pihak di United Kingdom (UK) bagi merealisasikan aspirasi melancarkan satelit pertama milik negeri itu.
Kerjasama ini memfokuskan kepada reka bentuk cip semikonduktor bertaraf dunia dan sistem teknologi satelit.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ini merupakan lonjakan besar bagi Sarawak untuk muncul sebagai pemain bernilai tinggi dalam sektor aeroangkasa dan teknologi angkasa global.
Katanya, inisiatif tersebut bakal memperkukuh keupayaan data Sarawak dalam bidang berkaitan iklim seperti perhutanan, pemantauan karbon, pengurusan bencana, dan pemerhatian bumi.
"Kami sedang meneroka pembangunan satelit Low Earth Orbit (LEO) bagi meningkatkan infrastruktur telekomunikasi, terutamanya di kawasan luar bandar. Kepakaran Universiti Bristol dalam kejuruteraan aeroangkasa adalah sangat relevan dengan aspirasi Sarawak ini," jelas beliau semasa sesi libat urus semikonduktor di National Composite Centre (NCC), Bristol pada Selasa 5 Mei.
Sesi tersebut turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara SMD Semiconductor, Universiti Bristol, dan Yayasan Sarawak.
Kerjasama ini juga merangkumi pembangunan bakat, termasuk penajaan program PhD selama empat tahun bagi jurutera tempatan serta peluang kepada pelajar cemerlang Sarawak dalam bidang kejuruteraan untuk memperkasakan ekosistem teknologi tinggi negeri.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakSatelit #SMDSemiconductor #UniversitiBristol #EkonomiDigital #SarawakMaju2030
Back