KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melancarkan serangan besar-besaran terhadap sindiket penipuan dalam talian melalui empat operasi khas yang menyaksikan penahanan 2,251 individu di seluruh negara sejak Januari lalu.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, mendedahkan bahawa operasi bersepadu tersebut merangkumi Ops Taring, Ops Belatuk, Ops Frontier, dan Ops Cenderahati.
Menerusi Ops Taring yang menyasarkan pusat panggilan (call centre), seramai 430 individu ditahan termasuk 270 warga asing yang berperanan sebagai operator dengan skrip perbualan terancang untuk menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.
Manakala, Ops Belatuk yang memfokuskan kepada penipuan tawaran kerja sambilan dan e-dagang berjaya memberkas 403 individu, di mana 358 daripadanya dikenal pasti sebagai keldai akaun.
Datuk Rusdi menegaskan bahawa operasi ini kritikal memandangkan kes penipuan kerja sambilan mencatatkan lonjakan drastik sebanyak 173 peratus pada tahun lalu.
Selain itu, Ops Frontier dan Ops Cenderahati turut dijalankan bagi melumpuhkan rantaian bekalan akaun keldai serta penipuan pembekal tidak wujud.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRM #JSJKBukitAman #OpsTaring #OpsBelatuk #OpsFrontier #OpsCenderahati
Back