MERADONG - Pihak Polis Daerah Meradong berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 27 tahun yang disyaki terlibat dalam satu kes pecah rumah kebun di Jalan Sungai Kekijang, Bintangor.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering, mengesahkan tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota pada petang Isnin lalu (4 Mei) susulan laporan polis yang diterima (Bintangor Rpt: 945/2026).
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, manakala rakannya tidak mempunyai sebarang rekod terdahulu.
Selain siasatan berkaitan kes pecah rumah, kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Pihak polis menegaskan komitmen tinggi dalam memerangi masalah dadah dan merayu masyarakat di daerah Meradong untuk terus menyalurkan maklumat bagi memastikan keselamatan kawasan setempat terpelihara.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSarawak #IPDMeradong #PecahRumah #InfoJenayah
Back