PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus komited memperkasakan budaya kerja cemerlang menerusi penganugerahan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi luar biasa wargakerjanya.
Dalam majlis sesi petang yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat KKM hari ini (5 Mei), seramai 390 penjawat awam daripada pelbagai gred perkhidmatan telah diraikan dalam satu suasana penuh istiadat.
Majlis yang penuh bermakna tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib.
Pengiktirafan yang diberikan kali ini bersifat inklusif dengan merangkumi pelbagai penggerak utama sektor kesihatan.
Antara barisan penerima yang diraikan adalah warga pendidik daripada Institut Latihan KKM (ILKKM), jururawat, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), serta kakitangan sokongan yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran operasi organisasi.
Kesemua penerima anugerah tersebut telah dipilih secara teliti oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) berdasarkan penilaian prestasi yang cemerlang serta komitmen tinggi yang konsisten dipamerkan sepanjang tahun perkhidmatan.
Sewaktu menyampaikan ucapannya, Dato Hajjah Hanifah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan luhur para petugas yang sering memberikan komitmen tinggi melampaui waktu pejabat demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.
Beliau menegaskan bahawa budaya kerja cemerlang tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, malah merupakan cerminan kepada aspirasi Malaysia MADANI dalam membentuk perkhidmatan awam yang cekal, berintegriti, dan berjiwa rakyat.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Datuk Azah Hanim binti Ahmad, serta barisan pengarah institusi latihan bagi menunjukkan sokongan terhadap kejayaan para penerima.
Sumber: fb Kementerian Kesihatan Malaysia
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #KKMMalaysia #APC2025 #ILKKM
Back