Kota Samarahan – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kini diiktiraf sebagai pusat latihan dan peperiksaan bagi Kursus Kekompetenan Gas dan Elektrik.
Ia sekali gus memperkukuh peranannya dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk sektor utiliti di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan keupayaan institusi tempatan dalam menyokong pembangunan sektor strategik.
Selain itu, ia turut menyediakan laluan yang lebih tersusun untuk melatih, menilai dan memperakui tenaga kerja berkompeten.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan pembangunan sektor gas dan elektrik negeri ini dilaksanakan secara mampan serta berdaya saing.
Katanya, aspek keselamatan utiliti tidak boleh bergantung kepada pengalaman semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh latihan yang sistematik, pematuhan kepada standard keselamatan serta pengiktirafan kompetensi.
Tambahnya, inisiatif berkenaan dijangka memberi impak signifikan terhadap kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan, khususnya dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan industri.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Liwan Lagang, pada majlis penyampaian pengiktirafan tersebut di UNIMAS, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back