KUCHING - Pihak polis kini giat mengesan seorang lelaki yang bertindak melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di Kota Sentosa, awal pagi Isnin 4 Mei.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi mengesahkan kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi. Suspek yang bertindak bersendirian dipercayai menggunakan sebilah pisau untuk mengancam mangsa di premis berkenaan sebelum melarikan sejumlah wang tunai dan barangan.
Hasil siasatan awal mendapati suspek melarikan diri dari lokasi kejadian dengan hanya berjalan kaki. Nilai keseluruhan kerugian yang dialami oleh pihak pengurusan premis dianggarkan berjumlah RM1,249.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan.
Pihak polis juga sedang meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti identiti suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk segera menghubungi IPD Padawan bagi membantu siasatan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSarawak #IPDPadawan
Back