BAU - Polis Daerah Bau berjaya menumpaskan siri kes pecah rumah yang menghantui penduduk sekitar Singai dengan penangkapan sepasang tunang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Pemangku Superintenden Mohd. Haide A. Rahman dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan tunangnya, seorang wanita berusia 19 tahun.
Menurut kenyataan itu, hasil siasatan mendedahkan suspek lelaki mengaku terlibat dalam enam kes pecah rumah di Kampung Apar, Kampung Tanjung Poting, dan Kampung Sudoh yang berlaku antara 16 hingga 29 April lalu.
Katanya, modus operandi suspek turut melibatkan tunangnya yang bertindak membantu memantau lokasi serta mengangkut barangan curi. Antara barangan yang berjaya dirampas semula termasuklah sebuah kenderaan Perodua Myvi, televisyen, mesin pemotong rumput, gergaji berantai (chainsaw), serta resit jualan barang lusuh.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah, manakala semakan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Pasangan tersebut kini direman selama empat hari sehingga hari ini 4 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSarawak #IPDBau #SingaiBau #PecahRumah
Back