MANCHESTER - Sarawak kini menetapkan hala tuju masa depan yang berteraskan kecerdasan buatan (AI), tenaga hidrogen dan pembangunan semikonduktor bagi membina ekonomi yang lebih mampan dan kompetitif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa peralihan daripada ekonomi lama kepada ekonomi hijau dan teknologi tinggi adalah langkah strategik selepas negeri mendepani cabaran pandemik COVID-19 serta perubahan landskap politik nasional.
Menurut beliau, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 menjadi asas utama dalam meneroka potensi baharu tersebut.
Sarawak kini memberikan tumpuan khusus kepada hidrogen sebagai bahan api masa depan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, di samping memanfaatkan sumber sedia ada seperti hidro, solar dan biojisim.
"Dunia masa depan akan dipacu oleh semikonduktor dan AI. Generasi muda Sarawak perlu bersedia untuk bekerja bersama teknologi dan automasi," ujar beliau semasa sesi Town Hall 'Sarawak Towards The Future' sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2026 (Edisi UK) di Manchester pada Ahad.
Abang Johari turut menekankan kepentingan pembangunan bakat melalui pendidikan bagi memastikan anak jati Sarawak mampu menguasai bidang strategik ini.
Jelasnya, pengukuhan ekonomi domestik yang selari dengan kepakaran global adalah kunci utama bagi menarik golongan profesional Sarawak yang berada di luar negara untuk pulang berbakti kepada tanah air.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #LanBerambehUK2026 #SarawakPCDS2030 #Abangjohari #SarawakMajuMakmur
Back