SIBU - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya melancarkan Op Bersepadu Cegah Jenayah dan Samseng Jalanan secara besar-besaran bermula malam tadi (2 Mei) sehingga awal pagi ini (3 Mei).
Operasi yang bermula jam 10.00 malam itu diketuai oleh seramai 12 pegawai dan 61 anggota daripada pelbagai bahagian.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Bin Miskon turut turun padang bagi memantau pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Channel dan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.
Secara keseluruhan, seramai 394 individu dan 332 kenderaan telah diperiksa di lokasi tumpuan termasuk Jalan Awang Ramli Amit dan Jalan Bujang Suntong.
Hasil operasi tersebut, sebanyak 87 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Pihak polis turut menahan seorang penunggang yang melakukan aksi "wheelie" serta seorang remaja lelaki berusia 16 tahun kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Selain penguatkuasaan trafik, polis juga menahan dua individu atas kesalahan jenayah dan narkotik selepas seorang daripadanya didapati memiliki dadah jenis methamphetamine.
Sementara itu, sebuah pusat hiburan di Jalan Lau King Howe turut diserbu kerana beroperasi tanpa lesen, mengakibatkan seorang pekerja ditahan dan peralatan premis dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Hiburan 2000.
Sumber: fb Polis IPD Sibu
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSarawak #IPDSibu #OpBersepadu #CegahJenayah
Back