HORSENS (Denmark) - Korea Selatan melakar kejutan besar apabila dinobatkan sebagai juara Piala Uber 2026 selepas menundukkan juara bertahan, China, dengan keputusan 3-1 dalam aksi final yang berlangsung di Forum Horsens, hari ini.
Kejayaan tersebut didorong oleh percaturan taktikal berani pasukan Korea Selatan yang bertindak memisahkan pasangan beregu nombor tiga dunia, Baek Ha Na dan Lee So Hee.
Langkah berisiko itu terbukti membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengimbangi kekuatan skuad Tembok Besar sepanjang perlawanan.
Bintang perseorangan nombor satu dunia, An Se Young, memberikan mata pembukaan buat Korea Selatan selepas menewaskan Wang Zhi Yi 21-10, 21-13.
Walaupun China sempat menyamakan kedudukan 1-1 melalui beregu nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning, Korea Selatan kembali memimpin perlawanan menerusi kejutan Kim Ga Eun yang menumbangkan Chen Yufei 21-19, 21-15.
Kemenangan mutlak disahkan pada perlawanan keempat apabila gandingan Baek Ha Na dan Hye Jeong bangkit daripada ketinggalan set pertama untuk menewaskan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 16-21, 21-10, 21-13.
Ini merupakan gelaran Piala Uber ketiga buat Korea Selatan sepanjang sejarah penganjuran kejohanan tersebut.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #UberCup2026 #BadmintonKorea #Denmark2026
Back