BARAM - Seorang wanita dilaporkan maut dalam kemalangan tragis melibatkan sebuah lori 10 tan dan sebuah kereta Proton Persona di Simpang Long Laput, kira-kira 6 kilometer dari Jalan Long Lama, hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Pemyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Lidia Ubong Ann, berusia 41 tahun, yang merupakan pemandu kereta berkenaan.
Kemalangan tersebut turut mengakibatkan dua penumpang kereta tersebut iaitu seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun, mengalami kecederaan.
Kedua-dua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital oleh pihak ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.
Sementara itu, pemandu lori yang berusia 46 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #KemalanganSarawak #BaramTerkini #LongLama
Back