MIRI - Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Miri telah mengeluarkan sebanyak 50 keping saman dalam satu operasi khas yang menyasarkan kawasan Pekan Bekenu dan Jalan Miri Bypass, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah memaklumkan bahawa operasi selama enam jam itu dijalankan susulan aduan orang awam mengenai aktiviti motosikal yang mengganggu ketenteraman dan kelancaran lalu lintas.
Seramai 51 individu (44 lelaki dan 7 perempuan) serta 45 buah motosikal telah diperiksa sepanjang operasi berlangsung.
Antara kesalahan utama yang dikesan termasuklah menunggang tanpa lesen, pengubahsuaian ekzos bising, tiada cermin sisi, dan penggunaan nombor pendaftaran 'fancy'.
Dalam operasi yang sama, seorang penunggang motosikal telah ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana bertindak menghalang penjawat awam menjalankan tugas di Jalan Miri Bypass.
Pihak polis menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti samseng jalanan dan menasihatkan pemilik kenderaan supaya mematuhi spesifikasi asal bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
Sumber: fb Polis Daerah Miri
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSarawak #IPDMiri #OpMotosikal
Back