MUKAH - Pelaksanaan 48 projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kini memperkukuh momentum transformasi Bahagian Mukah untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu yang signifikan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata sebahagian daripada projek tersebut telah siap sepenuhnya, manakala baki projek sedang dilaksanakan secara berfasa.
Katanya, pembangunan infrastruktur kekal menjadi keutamaan kerajaan dengan peruntukan melebihi RM4 bilion disalurkan khusus untuk projek jalan raya dan jambatan di seluruh bahagian ini bagi meningkatkan ketersambungan dan merangsang aktiviti ekonomi.
Dalam ucapan beliau mewakili Premier Sarawak sempena perasmian Pesta Kaul 2026 pada Sabtu 2 Mei, Datuk Amar Awang Tengah turut menekankan potensi Mukah sebagai hab digital dan inovasi.
Ujarnya, kehadiran institusi pendidikan seperti CENTEXS dan UiTM Kampus Mukah menjadi pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong ekonomi berasaskan pengetahuan.
Selain itu, kedudukan geografi Mukah di pesisir pantai membuka peluang besar dalam sektor pertanian moden dan 'ekonomi biru' (blue economy).
Ini merangkumi potensi dalam bidang perikanan, akuakultur, maritim, serta tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga ombak yang akan memacu pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan kompetitif.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #MukahMaju #RMK12 #PestaKaul2026
Back