SANDAKAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas Antara Kementerian bagi mencari penyelesaian tuntas terhadap isu kekurangan serta pengekalan bakat doktor dan pakar perubatan di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bahawa pasukan ini akan melibatkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan Kementerian Kewangan (MOF).
Langkah ini bertujuan menangani masalah yang telah lama berlarutan secara lebih bersistematik, dengan tumpuan khusus diberikan kepada keperluan sektor kesihatan di Sabah.
Selain pengurusan penempatan, pasukan tersebut juga sedang memperhalusi cadangan penambahbaikan insentif, termasuk elaun perpindahan bagi menarik minat dan mengekalkan pegawai perubatan berkhidmat di Sabah.
Beliau turut mengesahkan seramai 42 pegawai perubatan siswazah telah mula ditempatkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Dr. Dzulkefly memaklumkan KKM akan mengemukakan cadangan balas kepada Kementerian Kewangan berhubung cadangan pengurangan perbelanjaan operasi sektor kesihatan bagi memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #KKM #DrDzulkefly #SektorKesihatan #DoktorMalaysia
Back