Dublin — Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan sebuah Kampus Data Kecerdasan Buatan (AI) di Kuching sebagai pemangkin kepada pembentukan Grid AI.
Usaha tersebut dijangka memacu pelaburan serta memperkukuh ekosistem pusat data AI di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tapak seluas 405 hektar telah dikenal pasti di Tanjung Embang, bagi merealisasikan projek berimpak tinggi itu.
Menurut beliau, kampus berkenaan akan dilengkapi kemudahan bekalan tenaga dan air khusus untuk menyokong operasi pusat data, selain pembangunan nod ketersambungan sistem AI ke arah pembentukan Grid AI masa depan.
Projek tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta, dengan fasa pertama melibatkan kawasan seluas 120 hektar.
Beliau berkata demikian semasa sesi lawatan kerja rasmi beliau ke Kampus Pusat Data Strategik K2 di Dublin, Ireland, pada Sabtu.
Tambah beliau, pembangunan kampus itu juga akan dimodelkan berasaskan fasiliti bertaraf dunia yang dilawati itu.
Inisiatif itu juga menyokong perancangan pembangunan berskala besar di Tanjung Embang yang merangkumi pembinaan lapangan terbang baharu, pelabuhan laut, serta pembangunan industri rendah karbon.
Sumber & Foto: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back