MUKAH - Kepelbagaian kaum, agama, dan budaya di Sarawak terus diiktiraf sebagai nadi kekuatan utama dalam memacu agenda pembangunan serta mengekalkan kestabilan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menegaskan bahawa semangat perpaduan rakyat Sarawak yang saling bekerjasama tanpa mengira latar belakang adalah elemen unik yang perlu terus dipelihara.
Beliau menyifatkan perbezaan tersebut sebagai kekuatan yang menyatukan, memetik kiasan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tentang gabungan anak sungai yang bersatu menjadi satu aliran besar.
Bercakap mewakili Premier Sarawak pada Majlis Perasmian Kaul dan Keman Kaul 2026, beliau turut menekankan kepentingan festival tersebut sebagai platform memperkukuh perpaduan serta mempromosikan identiti Melanau ke peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Dalam majlis yang sama, Datuk Amar Awang Tengah menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Persatuan Melanau Mukah (PMM).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaul Mukah, Abdul Yakub Arbi, memaklumkan festival tahun ini telah ditransformasikan dengan pengurusan moden dan penggunaan teknologi bagi memastikan ia kekal relevan buat generasi muda dan pelancong luar tanpa menjejaskan nilai sejarahnya.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PestaKaul2026 #SarawakUnity #Mukah #KemanKaul
Back