KUCHING - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah melaksanakan Operasi Bersepadu Cegah Jenayah berskala besar bermula malam 30 April hingga awal pagi 1 Mei bagi memperkukuh keselamatan awam dan menekan kadar jenayah di sekitar bandar raya ini.
Operasi yang bermula jam 10 malam itu melibatkan kekuatan seramai 15 orang pegawai kanan dan 31 orang pegawai rendah polis. Tumpuan utama rondaan dan pemeriksaan tertumpu di kawasan pentadbiran Balai Polis Sekama dan Tabuan Jaya, termasuk pemeriksaan mengejut ke atas sebuah kelab malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND).
Sepanjang empat jam operasi berlangsung, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan ke atas 349 individu dan 295 buah kenderaan yang mencurigakan menerusi kaedah snap & check.
Selain fokus kepada pencegahan kes pecah rumah, samun, dan kecurian kenderaan, pihak polis turut mengeluarkan 117 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, terutamanya melibatkan penunggang motosikal.
Langkah proaktif ini bertujuan mempamerkan kehadiran polis (omnipresence) di lokasi berisiko tinggi serta mengesan individu dalam senarai dikehendaki (wanted person), sekaligus memastikan persekitaran yang selamat buat warga Kuching.
Sumber: fb Polis Daerah Kuching
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSarawak #IPDKuching #CegahJenayah
Back