KUCHING – Ketua jurulatih Kuching City FC (KCFC), Aidil Sharin Sahak, menegaskan keyakinannya terhadap kualiti keseluruhan skuad pasukannya ketika ini.
Ia termasuk pemain-pemain baharu yang dibawa masuk pada pertengahan musim seperti Muhammad Ariff Farhan, Jerome Etame dan Ahmad Israiwah.
Menurut beliau, ketiga-tiga pemain itu masih dalam proses menyesuaikan diri dengan sistem permainan pasukan yang baharu, selepas menyertai skuad di pertengahan musim.
Justeru, pasukan memberi ruang dan masa kepada mereka untuk menyesuaikan diri tanpa meletakkan tekanan berlebihan yang boleh menjejaskan mereka.
Namun begitu, keyakinannya terhadap kualiti yang dimiliki pemain-pemain berkenaan, menjadikan persaingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama semakin kompetitif.
Beliau menjelaskan, semua pemain yang diberi peluang untuk beraksi telah menunjukkan komitmen tinggi serta menyumbang kepada prestasi pasukan.
Apabila diturunkan, mereka bukan sekadar mengisi tempat, sebaliknya berjuang bersama dan menunjukkan kualiti permainan masing-masing, katanya.
Beliau menyifatkan persaingan sihat dalam skuad tersebut merupakan elemen penting yang membantu meningkatkan tahap prestasi pasukan secara keseluruhan.
Tambahnya, kelab juga perlu bersikap realistik dalam menguruskan bajet, dengan memastikan setiap pemain yang dibawa masuk mampu memberi impak sehingga penghujung musim.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan menentang Terengganu FC dalam aksi Liga Super, di Kuching, malam tadi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back