KUCHING - Kerajaan Sarawak menyambut baik keputusan untuk meneruskan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadualkan berlangsung di Selangor pada Ogos depan, meskipun pelaksanaannya dilakukan secara berskala kecil dan lebih sederhana.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas komitmen memastikan temasya dwitahunan itu tetap berlangsung.
Beliau menegaskan bahawa keputusan ini amat bermakna memandangkan semua negeri telah melabur masa dan kos bagi latihan fasa akhir atlet.
Dato Sri Abdul Karim berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Futsal Piala Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) SABERKAS di Arena Sukan Simpang Tiga, di sini, pada Jumaat.
Meskipun aspek protokol seperti majlis perasmian, penutupan, dan jumlah sukarelawan dikurangkan secara drastik (daripada 30,000 kepada 5,000 orang), Abdul Karim memberi jaminan bahawa semua acara sukan tetap dipertahankan bagi membolehkan atlet bertanding.
Beliau turut berharap agar aspek kebajikan atlet seperti wang saku dan makan minum tidak terjejas.
Mengenai persiapan kontinjen Sarawak, beliau memaklumkan bahawa kem latihan pusat akan bermula minggu hadapan. Segala urusan logistik termasuk penginapan telah dimuktamadkan sebagai persediaan awal sebelum kontinjen berangkat ke Selangor.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SUKMA2026 #Selangor2026 #SarawakBoleh #KBS
Back