Kota Samarahan – Lebih 2,000 peserta memanfaatkan cuti hari ini dengan menyertai acara Riang Ria oleh pasar raya Farley Kota Samarahan.
Program berkonsepkan mesra keluarga itu merupakan penganjuran kali kedua selepas kejayaan edisi sulungnya pada tahun 2024 lalu.
Ia sekali gus membuktikan sambutan yang semakin menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Menurut pihak Farley, acara Riang Ria menjadi platform untuk mengeratkan hubungan komuniti dalam suasana santai dan penuh keceriaan.
Malah, ia turut membuka ruang kepada orang ramai daripada pelbagai lapisan untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan.
Seawal pagi lagi, para peserta sudah mula memenuhi lokasi acara dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan.
Antaranya termasuk larian santai sejauh empat kilometer, tarian aerobik, pentas hiburan dan pelbagai permainan menarik.
Kemeriahan suasana oleh para peserta menjadikan acara itu bukan sahaja menghiburkan, malah secara tidak langsung menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Setiap aktiviti yang dirancang sesuai untuk semua peringkat umur, selaras dengan konsep acara yang menekankan nilai kekeluargaan dan kebersamaan.
Selain itu, para peserta turut berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik menerusi sesi cabutan bertuah dan aneka sampel makanan yang ditawarkan di gerai-gerai pameran.
Ringkasnya, acara Riang Ria Farley Kota Samarahan 2026 bukan sekadar acara hiburan, tetapi menjadi medan memperkukuh hubungan komuniti dalam suasana penuh kegembiraan dan harmoni.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back