Kuching – Kehadiran aktif Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng di kawasan di bawah pentadbirannya, tiada kaitan dengan sebarang isyarat politik menjelang pilihan raya yang akan datang.
Beliau menegaskan kehadiran beliau adalah sebahagian daripada tanggungjawab rutin sebagai Datuk Bandar dan ketua pihak berkuasa tempatan di MBKS.
Menjawab spekulasi yang mengaitkan lawatannya ke kawasan tertentu sebagai petunjuk awal pilihan raya, beliau berkata tafsiran sedemikian sering timbul apabila beliau kerap turun padang ke pelbagai lokasi.
“Orang ramai selalu membuat andaian. Bila saya pergi ke Padungan, mereka kata saya akan bertanding di sana. Bila saya pergi ke tempat lain, mereka juga membuat andaian yang sama,” katanya.
Beliau menegaskan sebagai Datuk Bandar, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan semua kawasan di bawah MBKS diberi perhatian secara seimbang tanpa pengecualian.
Menurutnya, pendekatan turun padang adalah penting bagi memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja.
Beliau turut menjelaskan setiap kawasan mempunyai keperluan pembangunan yang berbeza, termasuk usaha meningkatkan kemudahan awam dan daya tarikan setempat.
Tambahnya, perancangan bandar yang baik, penting bagi memastikan kesejahteraan penduduk tidak terjejas dalam proses pembangunan.
Beliau menegaskan semua usaha pembangunan yang dilaksanakan adalah berasaskan perancangan jangka panjang bagi memastikan kawasan di bawah pentadbiran MBKS terus berkembang secara mampan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Pelancaran Projek Mencantikkan Bulatan Bintawa, Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back