BANGI - Sumud Nusantara Command Center (SNCC) hari ini mengesahkan seramai 10 rakyat Malaysia merupakan antara 186 aktivis kemanusiaan yang terperangkap, selepas enam buah kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dipintas dan diceroboh oleh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan, insiden tersebut berlaku antara jam 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia di perairan berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Kedudukan flotila ketika dipintas adalah kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza, iaitu di zon pelayaran antarabangsa yang sah di bawah undang-undang maritim UNCLOS.
Menurut Dr. Sani Araby, pihak tentera rejim dikesan melakukan provokasi melampau termasuk melepaskan tembakan amaran, gangguan frekuensi radio, serta penggunaan dron untuk memantau pergerakan delegasi yang tidak bersenjata.
Sehubungan itu, SNCC telah mengarahkan baki kapal yang belum dipintas untuk segera memasuki perairan Greece demi faktor keselamatan.
Pihak SNCC telah memaklumkan perkembangan ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan sokongan diplomatik serta memohon perlindungan keselamatan buat semua aktivis.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #GSF2.0 #SaveGaza #PrayForMalaysiaActivists #SolidaritiPalestin
Back