KUCHING - Pemilik anjing peliharaan di sekitar bandar ini dipelawa menghadiri, Program Vaksinasi Anti Rabies Pelesenan dan Pemasangan Mikrocip pada Sabtu ini di Market Sungai Maong.
Program yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak itu akan diadakan dari jam 9 pagi hingga 4 petang, dengan semua perkhidmatan ditawarkan secara percuma.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk pelesenan anjing, suntikan vaksin anti rabies serta pemasangan mikrocip bagi memastikan haiwan peliharaan berdaftar dan mudah dikenal pasti.
Penganjuran program itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan vaksinasi serta langkah pencegahan rabies, selain memastikan keselamatan komuniti terus terpelihara.
Pemilik haiwan dinasihatkan membawa kad pengenalan dan kad vaksin anjing (jika ada) bagi melancarkan urusan sepanjang program berlangsung.
Inisiatif tersebut diharap dapat membantu pemilik haiwan menjaga kesihatan haiwan kesayangan mereka, sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam membendung penularan rabies di Sarawak.
Sumber: DBKU
Back