HORSENS (Denmark) - Skuad badminton wanita negara bakal berdepan ujian getir apabila diundi menentang juara bertahan merangkap gergasi badminton dunia, China, pada peringkat suku akhir Piala Uber 2026 di Forum Horsens, esok.
Kejayaan mara ke kelompok lapan terbaik ini merupakan pencapaian bersejarah buat skuad negara, selepas kali terakhir melakukannya 16 tahun lalu pada edisi 2010.
Malaysia melayakkan diri selaku naib juara Kumpulan B, manakala China yang memburu kejuaraan ke-17 pula mengesahkan kemaraan sebagai juara Kumpulan A.
Sepanjang saingan peringkat kumpulan, Malaysia mencatatkan dua kemenangan ke atas Turkiye (3-2) dan Afrika Selatan (5-0), sebelum akur kepada kehebatan Jepun (1-4).
Selain pertemuan Malaysia dan China, undian peringkat kalah mati turut menyaksikan Jepun akan bertemu Thailand, Indonesia menentang tuan rumah Denmark, manakala Korea Selatan dijadualkan berdepan Taiwan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #UberCup2026 #SukuAkhir #TeamMalaysia #Denmark2026
Back