HORSENS - Skuad badminton lelaki negara mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Piala Thomas 2026 sebagai naib juara Kumpulan B selepas tewas tipis 2-3 kepada Jepun dalam aksi terakhir kumpulan di Forum Horsens, Denmark, hari ini.
Malaysia bermula hambar apabila perseorangan pertama, Leong Jun Hao, tewas kepada Kodai Naraoka 11-21, 15-21. Walau bagaimanapun, gandingan Aaron Chia-Tee Kai Wun berjaya menghidupkan semula harapan negara dengan menyamakan kedudukan 1-1 hasil kemenangan dramatik ke atas Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 16-21, 21-14, 21-19.
Jepun kembali mendahului menerusi Yushi Tanaka yang menewaskan Justin Hoh sebelum kemenangan mutlak lawan disahkan oleh gandingan Akumi Nomura-Yuichi Shimogami yang mengejutkan beregu kedua negara, Soh Wooi Yik-Nur Izzuddin Rumsani dalam aksi tiga set.
Meskipun Lee Zii Jia mempamerkan aksi bertenaga menewaskan Koki Watanabe pada perlawanan terakhir, ia tidak cukup untuk menghalang Jepun bergelar juara kumpulan.
Skuad negara kini menanti undian peringkat suku akhir dengan tekad untuk bangkit mempamerkan prestasi lebih kemas di peringkat kalah mati.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #ThomasCup2026 #BWF #TeamMalaysia
Back