PUTRAJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan pembayar cukai bahawa tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata (BN) bagi Tahun Taksiran 2025 melalui perkhidmatan e-Filing adalah pada 15 Mei ini.
Tarikh akhir tersebut melibatkan kategori individu dan selain individu seperti pertubuhan, harta pusaka, serta keluarga sekutu Hindu yang tidak menjalankan perniagaan. Selaras dengan pelaksanaan mandatori e-Filing, LHDN memberikan tambahan masa selama 15 hari daripada tarikh asal yang ditetapkan pada 30 April.
LHDN dalam kenyataannya hari ini menyarankan agar pembayar cukai melakukan pelaporan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan sistem pada saat akhir.
Kegagalan mematuhi tarikh akhir yang ditetapkan boleh menyebabkan tindakan diambil di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, termasuk pengenaan penalti atas kelewatan atau kegagalan pengemukaan borang.
Pembayar cukai dinasihatkan membuat semakan teliti ke atas semua dokumen seperti penyata pendapatan dan resit sebelum membuat pelaporan di portal MyTax (https://mytax.hasil.gov.my) atau laman web rasmi LHDN.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #LHDN #eFiling2025 #MyTax
Back