KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan pelarasan harga runcit bagi petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi, manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal pada kadar RM5.12 seliter bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei 2026.
Menurut kenyataan MOF, harga runcit petrol RON97 akan meningkat sebanyak lima sen, daripada RM4.85 kepada RM4.90 seliter. Sementara itu, petrol RON95 tanpa subsidi mencatatkan kenaikan 10 sen, menjadikan harga baharu RM3.97 seliter berbanding RM3.87 seliter pada minggu sebelumnya.
Meskipun terdapat kenaikan pada gred premium, kerajaan komited mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar bagi melindungi rakyat. Harga RON95 (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak, dan Labuan kekal pada kadar RM2.15 seliter.
Pelarasan harga ini dibuat mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang dipengaruhi oleh ketidaktentuan pasaran petroleum global akibat konflik berterusan di Asia Barat serta kekangan bekalan antarabangsa.
Kerajaan menyarankan rakyat agar menggunakan bahan api secara berhemat bagi memastikan kestabilan bekalan negara terus terjamin.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PetrolUpdate #RON97 #RON95 #Diesel #KementerianKewangan
Back