SEMATAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan menyempurnakan majlis penyerahan enam projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Sematan hari ini.
Beliau berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan infrastruktur serta kemudahan awam di kawasan Tanjong Datu terus dipertingkatkan demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.
Ujarnya, pelaksanaan projek-projek itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat, malah turut menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan merancakkan aktiviti sosio-ekonomi komuniti di Sematan.
Antara projek yang telah siap sepenuhnya ialah naik taraf tempat letak kereta Dewan Kampung Sebat Baru serta naik taraf Balairaya Kampung Pueh Kenek.
Sementara itu, beberapa projek lain masih dalam pelaksanaan, termasuk naik taraf perparitan di Lorong 18 Kampung Sebat Baru, naik taraf perparitan di Kampung Siru Dayak, naik taraf Rumah Panjang Bidayuh Salako Kampung Pueh, serta pembinaan baharu Balai Raya Kampung Sungai Kilong.
Kesemua projek ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Majlis Daerah Lundu (MDL).
Penyerahan projek-projek tersebut turut menandakan pendekatan proaktif beliau dalam memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, sekali gus menjamin manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh penduduk di kawasan berkenaan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back