MIRI – Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (LINDUNG KASIH) antara inisiatif yang diketengahkan di reruai pameran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada program Sarawakku Sayang (SKS) di Stadium Miri, baru-baru ini.
Melalui skim tersebut, PERKESO memperkasakan golongan wanita termasuk di Sarawak dengan menawarkan perlindungan sosial komprehensif kepada suri rumah pada kadar caruman serendah RM120 setahun.
Skim LINDUNG KASIH memberi perlindungan kepada suri rumah daripada risiko bencana domestik, kemalangan serta keilatan ketika menguruskan rumah tangga.
Antara faedah yang disediakan termasuk manfaat perubatan, manfaat hilang upaya kekal sehingga RM30,000 serta elaun penjagaan berterusan sebanyak RM250 sebulan untuk penjaga.
Selain itu, skim ini turut menawarkan kemudahan pemulihan, rehabilitasi dan dialisis sehingga RM50,000, termasuk elaun dialisis RM200 sebulan, selain elaun morbiditi RM300 sebulan.
Bagi kes kematian, waris layak menerima bayaran one-off sebanyak RM3,000 serta pencen penakat sehingga RM300 sebulan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 1-300-22-8000 atau melayari laman sesawang rasmi PERKESO di http://www.perkeso.gov.my.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back