LUNDU – Seramai 19 orang menerima watikah pelantikan baharu dan sambungan bagi DUN N3 Tanjong Datu pada Majlis Apresiasi sempena Kursus Pemantapan Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lundu 2026 di Auditorium Majlis Daerah Lundu, semalam.
Pada majlis tersebut, lima individu turut menerima sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih atas khidmat bakti yang telah dicurahkan, manakala enam lagi menerima sijil kerakyatan.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran program seumpama ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap struktur pentadbiran unik negeri, yang diterajui oleh Residen serta pengurusan adat yang diketuai oleh Temenggong.
Tambahnya, Sarawak turut mempunyai kementerian khas yang bertanggungjawab memantau dan memelihara adat istiadat negeri, sekali gus membuktikan pengiktirafan tinggi terhadap identiti tempatan.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa siri program “Sarawakku Sayang” sedang giat dilaksanakan di seluruh negeri, dengan kemuncaknya dijadualkan berlangsung di Kuching pada November depan.
Program tersebut memberi peluang kepada KMKK untuk melihat secara langsung visi dan usaha yang dibawakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back