KUCHING - Sarawak Energy menggesa pengguna di seluruh negeri agar mengamalkan penggunaan tenaga elektrik secara cekap dan bertanggungjawab susulan fenomena El Niño yang membawa cuaca lebih panas dan kering. Peningkatan suhu lazimnya menyebabkan penggunaan elektrik melonjak, terutamanya bagi tujuan penyejukan ruang.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, walaupun Sarawak menikmati antara tarif elektrik paling kompetitif di Asia Tenggara, penggunaan elektrik yang bijak amat penting bagi menguruskan kos bil isi rumah serta menyokong kecekapan sistem bekalan elektrik negeri secara keseluruhan.
Bagi mengoptimumkan penggunaan, pengguna disarankan menetapkan suhu penyaman udara pada 24°C, memastikan pintu serta tingkap ditutup rapat, dan menggunakan kipas sebagai alternatif.
Langkah lain termasuk menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan, beralih kepada lampu LED, dan menutup langsir bagi mengurangkan haba matahari daripada masuk ke dalam rumah.
Pengguna yang memiliki meter pintar juga digalakkan menggunakan aplikasi SEB cares untuk memantau corak penggunaan tenaga secara harian atau jam melalui ciri Energy Insights.
Selain aspek penjimatan, Sarawak Energy turut mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan elektrik dengan mengelakkan lebihan beban pada soket kuasa dan memastikan pendawaian sentiasa dalam keadaan baik.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakEnergy #ElNino #SEBcares #JimatElektrik
Back