MUKAH - Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan dalam satu serbuan di kawasan pinggir hutan Jalan Lama Mukah-Balingian, pada Isnin 27 April.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, memaklumkan bahawa suspek lelaki berusia 44 tahun dan wanita berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.00 tengah hari ketika sedang duduk di atas sebuah motosikal.
Menyedari kehadiran polis, suspek lelaki bertindak mencampakkan satu paket plastik lutsinar ke dalam semak, namun berjaya ditemui semula oleh pihak berkuasa.
"Pemeriksaan lanjut mendapati paket tersebut mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (Syabu) seberat 0.63 gram. Hasil ujian urin turut mengesahkan kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh ladang sawit itu positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, suspek lelaki turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga 1 Mei 2026 untuk siasatan lanjut.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDMukah #PolisSarawak #BanterasDadah
Back