Kuching – Penganjuran Temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) Malaysia 2027, tidak akan tertumpu kepada acara sukan semata-mata, sebaliknya bakal menjadi sebuah platform festival yang mesra keluarga.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pendekatan itu bertujuan bagi menarik penyertaan dan kehadiran rakyat sebagai antara tarikan utama temasya berkenaan.
Menurut beliau, festival tersebut akan merangkumi jualan, pameran serta pelbagai aktiviti lain supaya orang ramai bukan sahaja hadir untuk menonton acara sukan, malah boleh membawa keluarga bersantai dan menikmati suasana.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat perkembangan kerja-kerja naik taraf fasiliti bagi Sukan SEA Malaysia 2027 di Kuching, hari ini.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, turut menyokong pendekatan berkenaan.
Beliau berkata, Sarawak sebelum ini telah melaksanakan konsep sama ketika penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching.
Menurutnya, lokasi tersebut dianggap strategik kerana berhampiran dengan kebanyakan venue acara sukan dan akan dihidupkan semula dengan pelbagai aktiviti.
Katanya, antara cadangan termasuk Dapur Malaysia, ruang jualan barangan cenderamata rasmi Sukan SEA serta pelbagai lagi tarikan.
Tembah beliau, penganjuran Sukan SEA kali ini bukan sekadar memenuhi keperluan pertandingan sukan, tetapi turut memberikan pengalaman menyeluruh kepada semua pihak terlibat, termasuk atlet, pegawai, delegasi dan rakyat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back