KUALA LUMPUR - Kerajaan mengesahkan bahawa penyelarasan sementara kuota inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan dikekalkan pada 200 liter sebulan buat masa ini. Langkah ini diambil sebagai tindak balas terhadap ketidaktentuan krisis bekalan tenaga global.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menjelaskan bahawa sebarang perubahan kuota akan dibincangkan secara mingguan melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dengan mengambil kira keperluan rakyat serta keupayaan ekonomi semasa.
"Kerajaan sentiasa memantau ekosistem bekalan minyak dan setakat ini keadaan masih terkawal. Kita juga telah mempelbagaikan sumber bekalan minyak agar tidak hanya bergantung kepada negara-negara Asia Barat," ujar beliau dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.
Meskipun terdapat cadangan daripada Bank Dunia untuk melaraskan harga RON95 kepada RM2.05 seliter, beliau menegaskan kerajaan masih komited mengekalkan harga bersubsidi pada RM1.99 seliter.
Penyelarasan kuota daripada 300 liter kepada 200 liter yang bermula sejak 1 April lalu telah membuktikan keberkesanan dalam mengurangkan ketirisan subsidi, sekali gus membolehkan kedudukan kewangan negara kekal mampan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #BUDI95 #RON95
Back