KUCHING — Sarawak kekal berada di landasan tepat dalam usaha menaik taraf prasarana sukan menjelang Sukan SEA Malaysia 2027, meskipun berdepan kenaikan kos bahan binaan akibat ketidaktentuan global.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tekanan kos yang berpunca daripada ketegangan di Timur Tengah tidak menjejaskan kemajuan projek setakat ini.
Ia termasuk kerja naik taraf Stadium Sarawak yang akan menjadi venue rasmi acara pembukaan temasya itu kelak.
Beliau berkata, walaupun terdapat peningkatan kos yang memberi kesan kepada kontraktor, semua kerja naik taraf fasiliti sukan masih berjalan mengikut jadual.
Katanya, pihak kontraktor juga turut mengemukakan permohonan semakan kos, namun perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk penilaian dan kelulusan.
Beliau menegaskan kerajaan negeri komited dalam memastikan semua kemudahan sukan siap sepenuhnya menjelang Jun tahun hadapan, sebagai persediaan untuk menganjurkan 17 jenis sukan di Sarawak.
Pemantauan rapi turut dilakukan terhadap setiap projek bagi memastikan tiada kelewatan dan semua perancangan kekal mengikut jadual.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, tahap kesiapsiagaan bagi klauster di Semenanjung Malaysia pula, kini hampir siap sepenuhnya.
Beliau berkata, tiada projek infrastruktur baharu berskala mega dibina, memandangkan kebanyakan fasiliti sedia ada mencukupi untuk penganjuran temasya tersebut.
Dalam pada itu, satu lawatan pemantauan akan diadakan esok ke beberapa lokasi utama fasiliti sukan di Sarawak bagi menilai perkembangan terkini sebagai langkah memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.
Kedua-dua mereka berkata demikian semasa ditemui media pada Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back