Kuching – Pendekatan berhemah dalam penganjuran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, setakat ini tidak menjejaskan jumlah acara sukan yang akan dipertandingkan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, temasya tersebut akan tetap diteruskan dengan beberapa syarat dan garis panduan yang perlu dipatuhi.
Menurut beliau, antara langkah yang akan diambil ialah melaksanakan penganjuran temasya secara lebih berhemah dengan mengurangkan skala temasya.
Perkara itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri Selangor selaku tuan rumah untuk menentukan aspek serta bentuk penjimatan yang sesuai.
Katanya, kira-kira RM100 juta telah diperuntukkan sebelum ini oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi penganjuran temasya.
Namun, jumlah itu mungkin akan dikurangkan bergantung kepada keputusan negeri.
Sehubungan itu, perkara berkenaan akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 30 April ini.
Bagaimanapun, setakat ini pengurangan skala penganjuran tidak menjejaskan jumlah acara sukan yang dipertandingkan.
Sebaliknya, ia lebih tertumpu kepada aspek pengurusan keseluruhan acara, termasuk majlis pembukaan dan penutupan SUKMA.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi di Kuching hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back