PARIS - Sarawak bakal melakar sejarah di peringkat antarabangsa apabila secara rasmi menerima sijil pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) bagi Sarawak Delta Geopark dalam majlis yang dijadualkan berlangsung petang ini (waktu tempatan).
Delegasi Sarawak yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sarawak Delta Global Geopark, telah diraikan dalam satu majlis makan malam bersama Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, H.E. Hazreen Abdul Haleem di Restoran New Jawad, malam tadi.
Pertemuan tersebut bertujuan menyelaraskan susun atur program penyampaian sijil serta membincangkan kerjasama global bagi memastikan inisiatif geopark negeri selari dengan standard antarabangsa.
Pengiktirafan rasmi ini dijadualkan berlangsung pada jam 3.45 petang (10.45 malam waktu Malaysia). Kejayaan ini bukan sahaja memartabatkan Sarawak di peta dunia, malah mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan lestari yang unggul menerusi pemeliharaan khazanah geologi dan warisan budaya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dalam hantaran di Facebooknya berkata, pengiktirafan ini adalah bukti komitmen jitu kerajaan negeri dalam memelihara warisan alam semula jadi dan memperkasa agenda pembangunan mampan.
Beliau yang mengetuai delegasi Sarawak ke Paris menyifatkan detik ini sebagai pemangkin kepada sektor pelancongan lestari negeri.
Turut menyertai delegasi tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeRN), Datu Abdullah Julaihi; Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Haji Mohammed; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan daripada agensi berkaitan.
Sumber: fb Len Talif Salleh
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakDeltaGeopark #UNESCO #Paris2026 #DatukLenTalif
Back