NILAI - Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, melengkapkan aksi cemerlangnya pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 dengan meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu lelaki, semalam 26 April.
Selepas mengejutkan dunia dengan pingat emas keirin sehari sebelumnya, "The Pocket Rocketman" membuktikan konsistensinya apabila menewaskan atlet neutral, Nikita Kiriltsev, dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa di Velodrom Nasional.
Laluan Azizulhasni ke podium menyaksikan beliau menyingkirkan Huang Ruiting (China) dan Dominik Topinka (Republik Czech), sebelum tumpas tipis 1-2 kepada Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago dalam saingan separuh akhir yang penuh debaran.
Pingat emas acara tersebut dimenangi oleh juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen, manakala Nicholas Paul membawa pulang perak.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, terkandas di pusingan 1/8.
Dalam saingan wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengakhiri cabaran keirin di tempat ke-11.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #AzizulhasniAwang #PocketRocketman #PialaDuniaNilai #VelodromNasional
Back