MIRI - Kos keseluruhan pelaksanaan pelan induk pembangunan kawasan Beraya masih belum dapat ditetapkan kerana projek tersebut turut melibatkan pihak swasta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata struktur pembangunan kawasan Beraya tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri, sebaliknya akan melibatkan penyertaan aktif pelabur swasta dalam pelbagai komponen pembangunan.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur asas seperti sekolah, pusat pentadbiran serta kemudahan awam, manakala pembangunan lain termasuk komersial, perumahan, hotel dan fasiliti pelancongan akan dibangunkan oleh pihak swasta.
Pembangunan kawasan Beraya akan dilaksanakan secara berfasa berpandukan pelan induk yang menetapkan zon-zon khusus termasuk kawasan perumahan, komersial, resort, padang golf, marina serta institusi pendidikan antarabangsa.
Pihak swasta, katanya, perlu mengemukakan cadangan pembangunan berdasarkan pelan tersebut bagi memastikan pertumbuhan kawasan berlaku secara terancang dan tersusun.
Kawasan Beraya yang terletak di antara Mulu dan Niah dijangka menjadi kawasan pertumbuhan baharu yang melengkapi pembangunan luar bandar Sarawak, tanpa menjejaskan kawasan perlindungan berhampiran.
Datuk Patinggi Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program SarawakKu Sayang di Stadium Miri, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back