MIRI – Bandar Miri bakal dibangunkan sebagai sebuah bandar moden seperti Shanghai dari segi perancangan bandar, infrastruktur dan pembangunan ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, walaupun Miri mempunyai populasi penduduk yang jauh lebih kecil berbanding Shanghai, bandar itu masih berpotensi berkembang sebagai pusat ekonomi serta pelancongan utama di utara Sarawak jika perancangan jangka panjang dilaksanakan dengan berkesan.
Menurut beliau, kejayaan Shanghai bukan sahaja terletak pada pembangunan moden, malah turut mengekalkan elemen warisan sejarah yang menjadi tarikan pelancong.
Katanya, pendekatan sama boleh dilaksanakan di Miri dengan memelihara bangunan lama serta identiti tempatan, sambil membangunkan infrastruktur baharu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) di Stadium Miri, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut mendedahkan perancangan pembangunan kawasan Kuala Baram yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu bagi bandar Miri.
Ujarnya, pembangunan pelabuhan laut dalam di kawasan berkenaan juga akan membolehkan kapal bersaiz besar, termasuk kapal persiaran, berlabuh sekali gus merancakkan industri pelancongan negeri.
Beliau menjelaskan jika ia dapat direalisasikan, Miri akan muncul sebagai sebuah bandar maju seperti Shanghai, lengkap dengan pelabuhan moden dan sektor pelancongan yang berkembang pesat.
Back