KUCHING – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas sebanyak 10,193,193 batang rokok seludup setakat tahun ini.
Timbalan Pengarah JKDM Sarawak, Abg Zamari Abg Nazarin berkata, nilai rampasan tersebut melibatkan anggaran duti dan cukai kira-kira RM7.3 juta.
Menurut beliau, sebahagian besar rokok yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui pelbagai laluan dan taktik penyeludupan.
Antara laluan utama yang sering digunakan oleh sindiket termasuk jalan laut dan darat.
Selain itu, mereka turut menggunakan pelbagai helah bagi mengaburi pihak berkuasa, termasuk menyamarkan rokok seludup bersama barangan lain untuk mengelakkan kegiatan tersebut dikesan.
Untuk rekod, bagi tempoh dari tahun 2024 hingga kini, jumlah rampasan rokok seludup yang direkodkan ialah sebanyak 129,817,968 batang, dengan anggaran cukai terlibat mencecah RM96 juta.
Beliau berkata, kejayaan rampasan tersebut membuktikan operasi penguatkuasaan oleh JKDM Sarawak berkesan dalam mengekang aktiviti penyeludupan rokok di negeri ini.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada sesi dialog “Perdagangan Haram di Sarawak: Punca, Risiko dan Kesan Larangan” di Kuching, hari ini.
Back
BILIK BERITA CATS
25 April 2026 | 05:11 PM