KUCHING - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan lapan warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan, Ops Selera, yang dijalankan di sekitar Jalan Satok, awal pagi Jumaat 24 April.
Operasi yang melibatkan 24 pegawai imigresen itu menyasarkan tiga premis perniagaan bagi membanteras kehadiran warga asing yang bekerja tanpa dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah.
Hasil serbuan di sebuah premis kedai makan, pihak berkuasa mendapati kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang diperlukan. Kesemua tahanan telah dibawa ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen.
JIM Sarawak menegaskan operasi berkala akan terus dipergiat bagi mengekang isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini serta memastikan semua majikan mematuhi undang-undang penggajian warga asing yang ditetapkan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #ImigresenSarawak #OpsSelera #JalanSatok
Back