MIRI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri menahan sebuah vesel nelayan tempatan selepas dikesan melanggar syarat lesen dan peraturan imigresen di perairan Kuala Baram, Jumaat 24 April.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, vesel tersebut dipintas pada jam 1.40 petang di kedudukan 7.2 batu nautika barat laut Kuala Baram semasa anggota menjalankan rondaan rutin.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh nahkoda yang tidak didaftarkan dalam buku lesen, sekali gus menyalahi Akta Perikanan 1985.
Selain itu, dua daripada empat kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, satu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua kru berusia 25 hingga 66 tahun, termasuk dua warga tempatan dan dua warga Indonesia, telah ditahan bersama vesel tersebut. Mereka kini diiring ke Pusat Tahanan Vesel Pulau Melayu untuk siasatan lanjut,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Maritim Malaysia menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi menjamin keselamatan perairan negara.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #MaritimMalaysia
Back