KUCHING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Manis telah memeriksa sebanyak 21 buah premis dan vesel sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 4.0 yang bermula sejak 10 April lalu di perairan Sarawak.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Mahkos Juing, memaklumkan bahawa operasi selama enam hari tersebut memfokuskan kepada aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi seperti diesel dan petrol yang berisiko menjejaskan kestabilan bekalan domestik.
"Satu tangkapan telah direkodkan membabitkan nilai sitaan hampir RM35,000, manakala dua lagi premis dikenakan amaran oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Penguatkuasaan dipergiat memandangkan ketegangan geopolitik global kini memberi tekanan kepada pasaran tenaga," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Ops Tiris 4.0 akan diteruskan secara berfasa dengan kerjasama strategik bersama KPDN bagi menjamin keselamatan perairan negara serta melindungi kepentingan komuniti maritim.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan ke Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-3572 8765.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #MaritimMalaysia #OpsTiris #TanjungManis
Back